LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Kuching: Kematian bayi berusia tiga bulan ketika dalam perjalanan menaiki bas bersama ibunya dari Kuching ke Sarikei baru-baru ini, berkemungkinan disebabkan jangkitan darah (sepsis) dengan komplikasi jangkitan selaput otak (meningitis).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Ooi Choo Huck berkata, kemungkinan punca kematian itu diperolehi berdasarkan temu bual bersama ibu bapa, rekod perubatan dan pemeriksaan fizikal ke atas mayat bayi.

"Menurut laporan siasatan akhir ke atas isu berkenaan, bayi itu meninggal dunia di dalam bas semasa dalam perjalanan bersama ibunya dari Kuching ke Sarikei pada 4 Disember lalu bertujuan mendapatkan rawatan tradisional," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya ibu bayi itu menyedari anaknya tidak bernafas semasa mereka berhenti di perhentian bas Jelukong, Sri Aman, sebelum dibawa ke hospital berdekatan iaitu Hospital Betong dan disahkan telah meninggal dunia.

"Bagaimanapun, bedah siasat tidak dilakukan kerana pihak keluarga tidak bersetuju dan mayat bayi itu kemudian dibawa pulang oleh pihak keluarganya untuk dikebumikan," katanya.

JKNS menjalankan siasatan bagi mendapatkan butiran lengkap mengenai perkara itu susulan kes kematian bayi itu tular di media sosial.

Dalam pada itu, Dr Ooi turut menasihati orang ramai agar membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan seperti klinik atau hospital terdekat dengan segera sekiranya didapati tidak sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 2:38 PM