FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Melvin Joni


Kuching: Punca kematian bayi di perhentian bas Jelukong, Sri Aman yang tular di media sosial pada 9 Disember lalu kemungkinan akibat jangkitan darah (sepsis) dengan komplikasi jangkitan selaput otak (meningitis), kata Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck.

Menurutnya, ia berdasarkan laporan yang diperoleh daripada temu bual bersama ibu bapa, rekod perubatan dan pemeriksaan fizikal ke atas mayat bayi berkenaan.

"Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin menasihati orang ramai agar membawa bayi atau anak mereka ke fasiliti kesihatan (klinik/hospital) terdekat dengan segera sekiranya mendapati bayi atau anak tidak sihat," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, menurut laporan akhir ke atas kes berkenaan, bayi berusia tiga bulan itu meninggal dunia di dalam bas ketika dalam perjalanan bersama ibunya dari sini ke Sarikei pada 4 Disember lalu untuk mendapatkan rawatan tradisional.

Menurutnya, ibu bayi itu menyedari bahawa bayinya tidak bernafas ketika bas berhenti di perhentian bas berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bayi itu kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan dan disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bedah siasat tidak dilakukan kerana pihak keluarga tidak bersetuju.

Menurutnya, mayat bayi berkenaan kemudiannya dibawa pulang oleh pihak keluarganya dan dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 3:32 PM