Keadaan jalan raya yang pecah akibat paip pecah menyebabkan sebuah kereta tersangkut di Jalan Batu 4, Jalan Pantai. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Keadaan jalan raya yang pecah akibat paip pecah menyebabkan sebuah kereta tersangkut di Jalan Batu 4, Jalan Pantai. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Lubang besar yang muncul mendadak susulan kejadian paip air bawah tanah yang pecah di Jalan Batu 5, Jalan Pantai di sini, tadi, menyebabkan sebuah kereta tersangkut di dalamnya.

Pengguna jalan, Hamdan Sulaiman, 53, berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, kejadian menyebabkan jalan tar berkenaan meretak sebelum wujud lubang besar di kawasan itu.

Menurutnya, sebuah kereta Perodua Alza gagal mengelak lubang itu sebelum tayarnya terperosok ke dalam lubang di tengah jalan berhampiran Hotel Sri Bayu Resort di sini.

"Mangsa bernasib baik apabila ramai warga tentera yang berhenti membantu menolak kenderaan itu.

"Mujur masalah ini segera ditangani Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAINS, Norzita Ismail berkata, pihaknya mengambil tindakan segera bagi membaiki paip pecah di kawasan itu.

"Berhubung insiden paip pecah itu, aduan diterima di Pusat Panggilan SAINS pada jam 7.30 pagi tadi sebelum tindakan segera diambil bagi menangani kejadian paip pecah itu.

"Kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan bermula jam 9 pagi tadi. Sebahagian jalan terpaksa ditutup kepada kenderaan awam bagi memberi laluan kerja pembaikan," katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu, beberapa kawasan berlaku gangguan bekalan air antaranya Taman PD Utama, Batu 2 1/2 Jalan Pantai, Kampung Bagan Pinang, seluruh kawasan Batu 4 Jalan Pantai, Kem-Kem Askar Batu 4 dan Batu 5 Jalan Pantai, Hospital Besar, Taman Si Rusa Jaya, Bandar Sunggala, Kampung Sawah Sunggala sehingga sekitar kawasan Batu 6, Jalan Pantai.

Norzita berkata, SAINS memohon maaf atas kesulitan ini dan untuk maklumat lanjut berkaitan kerja-kerja pembaikan di tapak bolehlah melayari www.sainswater.com

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 6:29 PM