Anggota bomba membantu mengeluarkan kaki seorang kanak-kanak yang tersepit dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Sri Rambai, Kuala Selangor. FOTO Ihsan JPBM.
Anggota bomba membantu mengeluarkan kaki seorang kanak-kanak yang tersepit dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Sri Rambai, Kuala Selangor. FOTO Ihsan JPBM.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Akibat tergelincir ketika mahu membuang air besar, seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit hampir 30 minit apabila kakinya tersepit dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Sri Rambai, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.42 malam.

"Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiba di lokasi, bomba mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun tersepit pada bahagian kaki kirinya di dalam lubang tandas jenis cangkung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dengan memecahkan mangkuk tandas menggunakan peralatan khas.

"Ahli keluarga sebelum itu berusaha mengeluarkan kaki mangsa namun gagal.

"Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 10:56 PM