BOMBA menyelamatkan kaki kanak-kanak lelaki yang tersepit dalam mangkuk tandas awam. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA menyelamatkan kaki kanak-kanak lelaki yang tersepit dalam mangkuk tandas awam. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Amanina Suhaini


SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berdepan detik cemas apabila kaki kanannya tersepit dalam mangkuk tandas awam di pusat rekreasi Air Terjun Kota Tinggi, Kampung Batu 4 dekat Kota Tinggi, tengah hari tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Mohamad Othman berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 12.56 tengah hari tadi, pihaknya menggerakkan sebuah jentera, sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar ada kanak-kanak lelaki yang tersepit kakinya di dalam mangkuk tandas.

"Makluman awal, mangsa dipercayai selesai mandi dan mahu bilas di dalam tandas, namun disebabkan licin kaki mangsa termasuk ke dalam mangkuk tandas dan tersepit kira-kira 20 minit sebelum bomba tiba.

"Mujur kaki mangsa dapat dikeluarkan dengan hanya menariknya, selain mangsa tidak mengalami kecederaan," katanya yang memaklumkan operasi ditamatkan pada 1.32 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:17 PM