ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan kaki kanak-kanak perempuan yang tersepit di dalam mangkuk tandas rumahnya. FOTO Ihsan bomba
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan kaki kanak-kanak perempuan yang tersepit di dalam mangkuk tandas rumahnya. FOTO Ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Akibat tergelincir, seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan sakit lebih dua jam apabila kakinya tersepit di dalam mangkuk tandas rumahnya di Jalan Jejaka, Taman Maluri, di sini, semalam,

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.41 malam.

"Seramai 16 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dan BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tersepit pada bahagian kaki di dalam mangkuk tandas di rumahnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dengan memecahkan paip tandas menggunakan 'power unit'.

"Kerja-kerja memecahkan paip berkenaan perlu dilakukan berhati-hati supaya tidak mencederakan mangsa.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 8:58 AM