VAN yang membawa anak yatim termasuk penjaga mereka terbabit dalam kemalangan selepas melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 445.9 Lebuhraya Utara Selatan, di Rawang. FOTO Ihsan bomba
VAN yang membawa anak yatim termasuk penjaga mereka terbabit dalam kemalangan selepas melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 445.9 Lebuhraya Utara Selatan, di Rawang. FOTO Ihsan bomba
Muhaamad Hafis Nawawi

Rawang: Van yang membawa anak yatim termasuk penjaga mereka terbabit dalam kemalangan selepas melanggar belakang lori di Kilometer 445.9 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.18 petang dan dua pegawai bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati kemalangan membabitkan van melanggar belakang lori.

"Terdapat 18 mangsa terdiri seorang lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.

"Dua dewasa dan tiga kanak-kanak mengalami kecederaan ringan dan mereka yang lain tidak cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, kanak-kanak yang terselamat dibawa ke BBP Rawang dan pihaknya sedang menguruskan pengangkutan untuk dibawa pulang ke rumah kebajikan di Titiwangsa.

Sementara itu, penjaga rumah kebajikan itu, Hafifah berkata, kanak-kanak lain tidak mengalami kecederaan manakala dia yang turut berada di dalam van itu cedera akibat tersepit di kaki.

"Kanak-kanak terselamat dalam kejadian ini dan saya kini sedang mendapatkan rawatan kerana cedera di kaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 8:19 PM