ANTARA individu dan barangan yang dirampas dalam Op Soga IX di seluruh negeri sejak 21 November lalu hingga semalam. FOTO ihsan Polis
ANTARA individu dan barangan yang dirampas dalam Op Soga IX di seluruh negeri sejak 21 November lalu hingga semalam. FOTO ihsan Polis
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Remaja 18 tahun antara 46 ejen bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 membabitkan nilai pertaruhan mencecah lebih RM6.3 juta ditahan dalam tempoh bermula 21 November lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek ditahan dalam 45 serbuan di seluruh negeri ini menerusi operasi Op Soga IX.

Katanya, mereka yang ditahan semuanya adalah lelaki warga tempatan berusia antara 18 hingga 72 tahun.

"Had nilai kredit keseluruhan yang direkodkan dalam keseluruhan serbuan ini mencecah sehingga lebih RM6.317 juta, manakala kita turut merampas wang tunai berjumlah RM34,303.

"Kita turut merampas wang tunai SGD500 (RM1,622), 48 telefon bimbit termasuk kad sim dan sebuah buku memo pad yang mempunyai catitan disyaki pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.

Kamarul Zaman berkata, Op Soga IX itu diadakan bagi membanteras gejala perjudian dan pertaruhan yang membabitkan kejohanan piala dunia itu.

"Fokus utama operasi khas ini adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh sempena Kejohanan FIFA World Cup Qatar 2022 bagi menahan individu yang bertindak sebagai bookie atau 'punter' dan juga tempat menjalankan judi bola sepak.

"Pelaksanaan penugasan Op Soga IX ini merujuk kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 3:27 PM