GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nuraliawati Sabri

[email protected].

Melaka: Tujuh lelaki disyaki bookie pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 ditahan, sekitar negeri ini antara 19 November hingga malam tadi.

Kesemua, tujuh lelaki itu ditahan sepasukan polis dalam enam serbuan berasingan menerusi Op Soga IX yang dilancarkan.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan di sekitar daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

"Dalam serbuan kira-kira 9 malam, seorang warga emas ditahan di sebuah premis ketika leka melihat telefon bimbitnya yang disyaki sedang menerima pertaruhan.

"Selain tangkapan dilakukan itu, polis turut merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM4,416, tujuh telefon bimbit serta kertas catatan pertaruhan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurut beliau, Op Soga itu dilancarkan sejak 19 November lalu bagi mengekang perjudian bola sepak dan kegiatan catit taruh tanpa lesen yang sah.

"Polis Melaka amat komited dalam mencegah serta membanteras aktiviti perjudian dan pertaruhan yang membabitkan perlawanan bola sepak khususnya pada musim Piala Dunia Qatar 2022.

"Kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:47 PM