MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diharap dapat menerima kenyataan dengan berhenti mengkritik Kerajaan Perpaduan yang dianggap beliau sebagai kerajaan luar tabii.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Muhammad Sanusi tidak boleh menjadikan alasan tsunami Melayu untuk beliau mengecam pembentukan Kabinet yang ternyata mesra Melayu apabila membariskan lebih 20 menteri berbangsa Melayu.

"Nasihat saya, Sanusi dan Ahli Parlimen Pas serta PN Kedah belajarlah berdamai dengan takdir Allah yang Pas tidak dapat membentuk kerajaan selain menginsafi bahawa ada pengajaran di sebaliknya.

"Janganlah dibawa resmi jagung, yang semakin berisi semakin tegak itu. Saya harapkan Sanusi bersihkan halaman sendiri dulu, baru bersihkan halaman orang. Bersihkan dulu hati pemimpin PN terutama Pas yang tidak sudah-sudah meratib DAP dan Islamophobia.

"Alangkah baiknya, barisan Ahli Parlimen Pas dan PN di Kedah ini menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. Adakah sudah cukup usaha membangunkan Kedah ini dijalankan? Jangan dilupa pembangunan Projek Mega yang tertangguh, pelaburan jutaan ringgit dan usaha pengupayaan hak sosio-ekonomi rakyat Kedah. Jangan janji hanya tinggal janji," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan Muhammad Sanusi menyifatkan Kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pentadbiran kerajaan luar tabii.

Ini kerana katanya, Anwar melantik Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet yang diumumkan kelmarin.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy turut mengingatkan Sanusi bahawa pembentukan barisan Kabinet baharu adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk mendapat perkenan Ketua Negara Malaysia. Ini sistem Raja Berperlembagaan yang kita amalkan sekian lama," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari berkata, tindakan mencerca Kerajaan Persekutuan yang baru dibentuk sebagai kerajaan luar tabii mencemar kewibawaannya sebagai Menteri Besar.

"Beliau lupa bahawa beliau sendiri bertindak di luar tabii demokrasi, membelakangkan semangat Undang-undang Tubuh Negeri Kedah dan mengkhianati mandat rakyat dengan menubuhkan kerajaan khianat PN Kedah.

"Ibarat ayam berkokok, ekor bergelumang tahi, Sanusi harus sedar bahawa rakyat tidak akan sesekali melupakan bahawa PN didirikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli-ahli parlimen yang bertindak di luar tabii demokrasi dengan mengkhianati mandat mereka di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)," katanya.

Taufiq berkata, kempen PN sewaktu PRU-15 yang berteraskan cercaan dan fitnah yang jijik juga menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

"PRU-15 berakhir. Kerajaan Persekutuan dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Cercaan kerajaan luar tabii itu menyinggung kuasa melantik Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Ketua Utama Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 5:01 PM