ISMAIL Sabri melambai tangan kepada pengamal media ketika keluar dari  kediaman beliau di Tropicana Golf & Resort, Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias
ISMAIL Sabri melambai tangan kepada pengamal media ketika keluar dari kediaman beliau di Tropicana Golf & Resort, Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat tidak perlu dilakukan kerana keabsahannya sudah diperakui menerusi perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Datuk Dr Shamrahayu A Aziz berkata, ia berikutan Parlimen tidak diberikan kuasa oleh perlembagaan untuk memberi pengesahan kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Sekiranya Tuanku menitahkan untuk diadakan undi percaya, ia bagi tujuan mengukuhkan kedudukan seorang Perdana Menteri atau sesebuah kerajaan, bukan untuk memberi pengesahan kepada perkenan diberikan Yang di-Pertuan Agong.

"Kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah amat berwibawa dan ia tidak perlu disahkan oleh mana-mana pihak termasuk Parlimen, ini bermaksud tiada sesiapa pun boleh mempertikaikannya.

"Ia adalah kuasa budi bicara baginda, membenarkan ia wajib disahkan oleh Parlimen dalam apa cara sekalipun akan merendah-rendahkan kuasa budi bicara atau perkenan baginda," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Menurutnya, Parlimen adalah badan yang patut menurut dan taat kepada perkenan baginda.

"Justeru, jika baginda menitahkan untuk dibuat undi percaya, ia bukan bertujuan mengesahkan atau memberikan keabsahan kepada lantikan yang diberi perkenan baginda.

"Tindakan mendapatkan undi percaya itu adalah bagi mengukuhkan kerajaan dan melaksanakan titah ini adalah baik untuk kerajaan itu sendiri walaupun ia adalah hanya adat perlembagaan," katanya.

Katanya, beliau mengambil berat mengenai fungsi perkenan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tidak mahu kemudian hari nanti orang ramai atau pemain demokrasi menyatakan perkenan Yang di-Pertuan Agong ini boleh disahkan oleh Parlimen.

"Sekiranya memberikan kuasa kepada Parlimen untuk mengesahkan perkenan Yang di-Pertuan Agong berlaku ia amatlah tidak baik sama sekali kepada kuasa budi bicara dan kemuliaan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Katanya, kerajaan hendaklah mengambil langkah untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan mengambil tauladan daripada apa yang berlaku kepada kerajaan sebelum ini.

"Saya menulis kali ini untuk menegaskan pandangan saya mengenai undi percaya kepada Perdana Menteri yang baharu dilantik terutamanya pelantikan bukan hasil daripada pilihan raya," katanya.

Dr Shamrahayu turut menegaskan, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri.

"Tiada peruntukan dalam perlembagaan mengenai undi percaya. Ia adalah amalan atau adat perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.

"Pelantikan Perdana Menteri adalah sah selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya berlakunya upacara menandatangani suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan ini hendaklah diwartakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:00 PM