M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman


Yan: Senarai nama barisan Kabinet baharu dijangka diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap orang ramai tidak mempercayai senarai nama menteri yang tular di media sosial berikutan senarai itu dalam proses dimuktamadkan.

"Sekiranya saya umum hari ini, tidak ada kejutan, saya akan umum selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Senarai belum ada, jangan percaya sebab saya lihat setiap hari ada keluar senarai baharu, tetapi itu semua tidak betul," katanya pada sidang media di Masjid Jame' Badlishah, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau sedang mempertimbang senarai nama Ahli Parlimen yang dicadang semua parti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) termasuk bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Mengenai Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak, saya akan pertimbang semua sebelum putuskan siapa jadi menteri, kita lihat secara keseluruhan dan ambil kira kepentingan semua pihak.

"Mengenai nama kerajaan ini, kita guna Kerajaan Malaysia sahaja," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan Ahli Parlimen pembangkang dilantik ke dalam Kabinet, beliau menegaskan perkara itu tidak akan berlaku berikutan tiada kerajaan perpaduan dibentuk ketika ini.

"Mereka tidak ada dalam Kabinet, tidak ada kerajaan perpaduan yang membabitkan parti pembangkang tetapi kita boleh bekerjasama dan pandangan mereka boleh diberi dalam Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) khususnya bagi pemulihan ekonomi.

"Saya juga berterima kasih kepada pembangkang yang memberi reaksi menggalakkan untuk berbincang, jadi saya akan berjumpa mereka bagi melihat apa peranan mereka selepas ini," katanya.

Semalam, Ismail Sabri menawarkan kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 5:24 PM
ISMAIL Sabri (kanan)  bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media selepas melawat kawasan bencana akibat fenomena kepala air Gunung Jerai. FOTO Luqman Hakim Zubir
ISMAIL Sabri (kanan) bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media selepas melawat kawasan bencana akibat fenomena kepala air Gunung Jerai. FOTO Luqman Hakim Zubir