Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersedia menghadapi cabaran dan rintangan ekonomi yang dijangka berkembang perlahan tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, barisan Kabinet kali ini juga bakal berdepan dengan cabaran besar, khususnya menterjemahkan kepercayaan diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Saya percaya selepas berbincang panjang dengan komponen parti yang bersetuju kepada Kerajaan Perpaduan ini, mereka memilih calon-calon yang sebaik mungkin menjamin kestabilan pentadbiran dengan jaminan dua pertiga majoriti.

"Ini seterusnya membawa kepada tanggungjawab dan tugasan selaku pentadbiran dan pengurusan tertinggi dalam negara," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Selangor Penyayang Daerah Hulu Selangor di Persiaran As Salam, Bukit Sentosa, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd Hasry Nor Mohd.

Amirudin berkata, biarpun ada pelbagai pandangan berhubung pelantikan beberapa individu tertentu, beliau percaya keputusan itu adalah rumusan yang terbaik.

"Rumusan itu diputuskan hasil semangat perpaduan yang lahir daripada Kerajaan Perpaduan," katanya.

Media semalam melaporkan dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Jumlah saiz itu, termasuk Anwar yang memegang portfolio Menteri Kewangan adalah lebih kecil berbanding seramai 31 jemaah menteri dalam kerajaan yang terbentuk sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 12:42 PM