PENEROKA Kampung Koskan Tambahan mengadakan demonstrasi aman bagi merayu kepada Menteri Besar menghentikan pengusiran penduduk di hadapan pintu masuk utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. FOTO Faiz Anuar
PENEROKA Kampung Koskan Tambahan mengadakan demonstrasi aman bagi merayu kepada Menteri Besar menghentikan pengusiran penduduk di hadapan pintu masuk utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) menolak permohonan penduduk Kampung Koskan Tambahan berikutan tanah berkenaan adalah rizab sungai.

Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri berkata, berdasarkan semakan yang dibuat, tapak kediaman yang dimaksudkan oleh penduduk itu adalah tanah hak milik persendirian (Lot 4465 GRN 322912) yang diberi milik sejak 133 tahun lalu (21 Jun 1890).

"Pemilik asal kemudiannya menjual tanah ini kepada Panca Resmi Sdn Bhd pada 1991.

"PDTHS ada menerima permohonan tanah oleh penduduk dan siasatan di tapak mendapati struktur kediaman penduduk adalah terletak di atas tanah hak milik Lot 4465 GRN 322912.

"Tetapi permohonan yang dikemukakan oleh penduduk adalah di atas rizab Sungai Serendah yang juga kawasan dataran banjir.

"Oleh itu, PDTHS tidak dapat mempertimbangkan permohonan di atas rizab sungai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Hanafe berkata, dakwaan penduduk bahawa kerajaan negeri memberi milik tanah rizab sungai kepada Panca Resmi Sdn Bhd adalah tidak benar.

"Tanah rizab sungai yang dimaksudkan dan tanah milik Lot 4465 GRN 322912 adalah dua tapak yang berbeza.

"Beberapa siri libat urus diadakan di antara pemilik tanah dan penduduk bagi menyelesaikan perkara ini.

"Penduduk juga ditawarkan pakej penyelesaian oleh pihak pemilik tanah. Sebahagian penduduk menerima tawaran pakej penyelesaian pemilik tanah itu, manakala sebahagian penduduk enggan menerimanya," katanya.

Lanjutan itu katanya, pemilik tanah mendapatkan perintah mahkamah untuk pengosongan tanah milik mereka.

"PDTHS ingin menegaskan bahawa pertikaian ini membabitkan pemilik tanah dan pihak penduduk.

"PDTHS berharap agar pertikaian antara kedua-dua pihak dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Semalam, media melaporkan seramai 12 keluarga peneroka yang tinggal di kampung itu sejak kira-kira 40 tahun lalu melahirkan rasa kecewa dan terkejut apabila menerima notis pengosongan dari Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Lebih mengecewakan, walaupun notis berkenaan bertarikh 18 April 2023, namun 12 keluarga berkenaan mendakwa menerimanya di saat umat Islam hendak meraikan sambutan Aidilfitri.

Justeru, penduduk mengharapkan campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membantu mereka menyelesaikan isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 2:45 PM