Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), bersama Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (kanan), dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua, kiri). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), bersama Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (kanan), dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua, kiri). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Oleh Ahmad Suhael Adnan dan Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar (MB) Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang memaklumkan keputusan terbabit adalah bagi memastikan Amirudin dapat meneruskan kecemerlangan dalam mentadbir kerajaan Selangor.

Katanya, kecemerlangan pentadbiran Amirudin terbukti apabila Selangor mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi berbanding negeri dan wilayah lain di Malaysia bagi suku pertama tahun ini.

"Kalau Malaysia tiada pelaburan asing, ringgit takkan kuat dan pertumbuhan tidak akan meningkat.

"Lihat pertumbuhan ekonomi kita suku pertama, Selangor nombor satu. Sebab itu kita cadang untuk kekalkan Amirudin sebagai MB.

"Ini kali pertama saya umum secara rasmi. Dia pun terkejut tadi. Ini kerana pertumbuhan ekonomi baik," katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Amirudin menzahirkan penghargaan atas cadangan Anwar untuk mengekalkannya sebagai MB.

Sehubungan itu, beliau bertekad untuk membuktikan penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan Perdana Menteri kepadanya dengan memastikan gabungan PH dan BN menang bergaya dalam PRN di Selangor, 12 Ogos depan.

"Terima kasih atas cadangan daripada Perdana Menteri. Terima kasih atas penghargaan dan pengiktirafan itu dan ia harus dibuktikan dengan kemenangan yang signinfkan dalam PRN.

"Saya percaya (cadangan Perdana Menteri) akan mendapat konsensus daripada pimpinan-pimpinan (parti dalam Kerajaan Perpaduan di Selangor). Insya-Allah kita akan bekerja keras untuk mencapai kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 2:48 PM