FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sedang membangunkan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) untuk negeri itu.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk James Ratib berkata, usaha itu yang dilaksanakan dengan kerjasama JPS Malaysia membolehkan ramalan dan amaran banjir akibat monsun timur laut disebarkan kepada orang ramai lebih awal.

Menurutnya, menerusi program itu, JPS mensasarkan untuk mengeluarkan ramalan dan amaran banjir tujuh hari lebih awal.

"Usaha turut dilakukan bagi membangunkan sistem yang mampu meramal dan menyebarkan amaran banjir kilat kepada orang ramai dari satu hingga tiga jam lebih awal berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia," katanya ketika sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan) sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan sistem pemantauan banjir dan membina pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan menghadapi banjir di daerah yang terjejas banjir di negeri itu.

Mengenai penyediaan PPS, James berkata, kerajaan sudah mengenal pasti keperluan untuk kemudahan itu seperti dewan masyarakat dan bangunan lain yang bersesuaian.

"Kerajaan akan mengambil tindakan yang lain jika diperlukan dari segi pertambahan lokasi dan pertambahan fasiliti," katanya.

Sementara itu, menjawab mengenai status projek tebatan banjir di Kota Belud, James berkata, pihaknya sedang melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kadamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang, Kota Belud.

"Ia membabitkan pembinaan ban dan penstabilan tebing sungai. Projek ini sudah bermula pada 21 Mac lalu dan dijangka siap pada 20 Mac 2023.

"Selain itu, bagi mitigasi jangka panjang, kita juga dalam peringkat akhir penyediaan dokumen kajian kesesuaian projek Mitigasi Banjir dan Sumber Air Bersepadu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 12:41 PM