ZAIRIL Khir Johari ketika sidang media projek-projek mitigasi banjir kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Jawi. FOTO Danial Saad
ZAIRIL Khir Johari ketika sidang media projek-projek mitigasi banjir kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Jawi. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Masalah banjir kilat yang membelenggu 150 keluarga di beberapa kampung di Sungai Bakap, di sini akan diatasi melalui projek mitigasi yang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata pihaknya dimaklumkan banjir berlaku pada setiap tiga kali setahun dengan kali terakhir adalah pada November lalu.

Susulan itu, katanya, langkah jangka pendek dan panjang akan dilaksanakan dalam mengatasi masalah itu daripada terus berlarutan.

"Bagi langkah jangka pendek, tiga projek pembangunan dan mitigasi akan dilaksanakan hujung bulan ini dengan peruntukan RM600,000.

"Tiga projek ini di bawah peruntukan Caruman Saliran Negeri yang ia akan disalurkan kepada agensi pelaksana iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk pelaksanaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abd Hamid dan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, selain itu antara projek mitigasi jangka pendek yang akan dilaksanakan termasuk menaiktaraf tebing Sungai Baong dan kerja berkaitan di Kampung Changkat Dain.

Katanya, Kampung Changkat Dain dan kawasan sekitarnya sering dilanda banjir dengan kekerapan dua hingga tiga kali setahun akibat limpahan air Sungai Baong yang tidak dapat mengalir ke Sungai Jawi

"Keadaan tebing sungai sedia ada yang terhakis dan tidak stabil dikhuatiri boleh menyebabkan runtuhan tebing terutamanya ketika paras air sungai tinggi dan aliran sungai laju ketika hujan lebat.

"Pada masa sama, keadaan sungai yang sempit yang menyebabkan aliran di bahagian hulu terjejas turut menyebabkan banjir kilat berlaku," katanya.

Sementara itu , Zairil berkata, kerajaan persekutuan pula memperuntukkan RM246 juta bagi menjalankan dua projek mitigasi banjir jangka panjang iaitu Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi dan Projek Tebatan Banjir Sungai Kechil.

"Kedua-dua projek tebatan banjir ini dijangka dapat menyelamatkan sebanyak 10,088 penduduk yang terjejas banjir di DUN Jawi dan Sungai Bakap serta mengurangkan kekerapan dan keluasan kawasan banjir sebanyak 1,790 hektar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 3:42 PM