Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) boleh menjadi rakan mesra dalam mana-mana gabungan politik, sekiranya diperlukan untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menyaksikan, tiada mana-mana gabungan politik yang berjaya mendapat majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Noraini yang juga Ketua Wanita Umno berkata, berbekalkan hanya 30 kerusi Parlimen yang dimenangi, BN wajar untuk terus berada di dalam blok pembangkang.

"Namun, BN boleh menjadi rakan mesra dalam mana-mana gabungan politik, sekiranya diperlukan untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.

"Keputusan menjadi rakan mesra parti kerajaan juga perlu dibuat secara bersyarat di mana BN diberi kebebasan dalam berbahas, menyokong atau menolak sebagai blok neutral untuk periksa dan imbang (check and balance) bagi apa sahaja usul yang dibentang atau dicadang oleh kerajaan.

"BN juga diminta supaya tidak meruntuhkan mana-mana gabungan politik kerajaan yang sudah terbentuk sehingga Parlimen dibubarkan, selagi mana gabungan politik itu masih menjunjung tinggi semangat Perlembagaan dan kestabilan politik negara," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg dilaporkan memaklumkan, gabungan itu bersetuju membentuk Kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu Perikatan Nasional (BN) dan BN.

Abang Johari dilaporkan berkata, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Hari ini pula, media melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa bakal mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, dalam majlis kira-kira 4 petang ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan mendakwa, beliau dimaklumkan terdapat sekurang-kurangnya 18 ahli Parlimen BN menyatakan kesediaan bersama PN dan menyokong Muhyiddin.

Katanya, senarai nama individu itu akan melalui beberapa prosedur dan perlu dihantar ke Istana Negara, sebelum 2 petang dan bakal disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri pada 4 petang.

Dalam pada itu, Noraini yang menang di kerusi Parlimen Parit Sulong berkata, keputusan yang dibuat oleh rakyat pada PRU-15 perlu dihormati.

"Tumpuan utama perlu diberikan untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap BN semula pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 10:29 AM