MUHYIDDIN mendapat sokongan Jalaludin. FOTO EPA & NSTP
MUHYIDDIN mendapat sokongan Jalaludin. FOTO EPA & NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mencadangkan supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Ahli MKT Umno Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, bekas Perdana Menteri itu layak dinamakan berikutan PN ketika ini memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas Pakatan Harapan (PH).

"Secara terbuka, saya mengambil sikap berjiwa besar dan matang dalam kolektif politik untuk mencadangkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atas kerangka bahawa PN memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas PH.

"Perkara ini sewajarnya menjadi collective responsibility dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional (BN), PN, Pejuang, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bebas dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan.

PH memperoleh 82 kerusi Parlimen pada PRU15, sementara Perikatan Nasional (PN) menang di 73 kerusi. Namun, kedua-dua parti ini tidak mencukupi kerusi dimenangi untuk membentuk kerajaan dan memerlukan penyertaan gabungan dari parti lain bagi melengkapkan angka 112 kerusi.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut menolak sebarang pembentukan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

"Berpaksikan track record, saya berprinsip bahawa kita harus membentuk sebuah unity government tanpa PH untuk menerajui kerajaan Malaysia pasca PRU-15 ini.

"Asas utama penolakan terhadap PH ini adalah atas kegagalan pentadbiran negara dan keruntuhan negara semasa 22 bulan diperintah mereka pada PRU-14 lalu," katanya.

Katanya, beliau menerima keputusan PRU-15 ini dengan penuh kematangan dan keputusan BN yang hanya mampu menang di 30 kawasan parlimen.

"Dalam situasi ini, tiada satu parti pun yang beroleh majoriti mudah kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. Namun demikian, kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara ini harus diteruskan dengan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman," katanya.

Umno dan BN setakat ini masih belum memutuskan pendirian rasmi mengenai penyertaan mereka ke mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan, selepas tiada mana-mana parti cukup 112 kerusi Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 7:26 PM