SAIFUDDIN Nasution. FOTO arkib Bernama
SAIFUDDIN Nasution. FOTO arkib Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa gabungan itu mempunyai jumlah Surat Akuan (SD) melebihi 112 kerusi Parlimen adalah pramatang, mustahil dan tidak kondusif.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengambil pendirian berdasarkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Ahmad Zahid sudah memaklumkan bahawa sebarang akuan berkanun lain atau sebarang rundingan dengan parti lain oleh mana-mana Ahli Parlimen Umno adalah tidak sah dan tidak boleh diambil kira sebagai bukti sokongan majoriti kepada mana-mana calon Perdana Menteri.

"Ia juga boleh menyebabkan mereka hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam akuan berkanun yang sudah mereka tandatangani.

"Pakatan Harapan sudah memasuki fasa rundingan yang serius dengan BN yang turut membincangkan perkara utama menyentuh mengenai kestabilan politik dan pemulihan ekonomi dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

"Hasil perbincangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penafian Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkaitan satu kenyataan media tular yang menyatakan 10 Ahli Parlimen Umno menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

"Justeru itu, Pakatan Harapan berpendirian bahawa kenyataan Setiausaha Agung PN itu adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif berkait angka sokongan majoriti yang didakwa sudah mereka capai," katanya.

Terdahulu, media melaporkan PN sudah mengemukakan lebih 112 SD daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Hamzah dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan, jumlah surat akuan berkenaan mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Katanya, jumlah surat akuan yang dihantar melebihi 112 iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang hari ini.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, hari ini memperkenankan tempoh itu dilanjutkan sehingga jam 2 petang esok susulan permohonan ketua parti politik dan gabungan parti politik yang diterima Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Parlimen Malaysia boleh disifatkan kini berada dalam keadaan tergantung atau Hung Parliament selepas SPR mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada PRU-15, semalam.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, setakat jam 4.30 pagi semalam, PH memperoleh 82 kerusi, diikuti PN 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (satu).


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 4:12 PM