Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan tindakan Pengerusi BN merangkap Presiden Umno itu berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan campuran - sekiranya benar sedang berlaku - sebagai tidak sah.

"Sementara ahli Umno menunggu tindakan berjiwa besar Presiden untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, beliau sebaliknya, jika benar sebagaimana dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan PH.

"Ahmad Zahid mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya, antara punca kekalahan teruk BN. Beliau tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak tanpa persetujuan parti.

"Presiden Umno dan Pengerusi BN tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan MKT Umno dan Majlis Tertinggi BN.

"Oleh itu, sebarang keputusan yang dibuat oleh presiden parti tanpa proses ini adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sumber dilaporkan media mendedahkan bahawa pimpinan PH dan BN bakal mengadakan pertemuan rahsia di Hotel Seri Pacific, kira-kira 10 pagi ini.

Bagaimanapun, perincian pertemuan itu tidak didedahkan.

Malam tadi, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan terbaharu itu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, tiada sebarang perundingan dilakukan dengan PN setakat ini, yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan.

Beliau turut dilaporkan memaklumkan, semua ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah menandatangani aku janji dan memberi mandat kepada beliau untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

Semalam juga, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dilaporkan memaklumkan, gabungan itu bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu PN dan BN.

Abang Johari dilaporkan berkata, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, GPS juga bersetuju Muhyiddin menjadi calon Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar berkata, keputusan terakhir Umno menerusi Persidangan Agung Khas sudah memutuskan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR dan DAP.

"Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. Insya-Allah ini semua ada hikmahnya.

"Sekali lagi saya memohon dan merayu supaya Presiden Umno meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 9:03 AM