MUHYIDDIN Yassin ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran PN Best dan Manisfesto PN di Dataran Pendang, baru-baru ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
MUHYIDDIN Yassin ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran PN Best dan Manisfesto PN di Dataran Pendang, baru-baru ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Syed Muhammad Riduan


Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk menang dan menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan beliau tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, untuk berunding dengan BN bagi sebarang tujuan penggabungan pasca PRU-15.

"Tujuan PN bertanding dalam PRU-15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.

"Sebagai Pengerusi PN, saya tidak pernah memberi mandat kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU-15.

"Saya berdoa dengan izin Allah SWT dan sokongan padu rakyat, PN akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan negeri yang terbabit dalam PRU-15," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Muhyiddin itu menyusul selepas Takiyuddin yang mendakwa dia yakin PN dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN selepas PRU-15.

"Saya yakin kita dapat bentuk Kerajaan Persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN.

"Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.

"Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

"Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 4:26 PM