GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Memasuki hari ketiga 'bahang' aktiviti berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mula terasa apabila polis membuka satu kertas siasatan berhubung jenayah khianat, mencabut dan mencampak bendera parti bertanding di negeri ini semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, kes berlaku di daerah Melaka Tengah namun tiada tangkapan dibuat berhubung perbuatan itu.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan selepas menerima aduan berhubung bendera parti dicabut dan dicampakkan di atas jalan," katanya tanpa memperincikan bendera parti mana dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada masa sama sehingga semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka meluluskan 46 aktiviti ceramah kempen oleh semua parti bertanding bermula dari hari penamaan calon pada Sabtu lalu.

"Semua parti bertanding dinasihatkan memohon permit ceramah daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di kawasan masing-masing.

"PDRM akan membantu memudahkan urusan permohonan permit ceramah, namun ia perlu mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Subseksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

"Ia menyatakan seseorang calon atau ejen pilihan raya boleh mengadakan perjumpaan awam, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka, hiburan awam terbuka atau memberikan ucapan awam terbuka semasa pilihan raya hanya jika calon memegang suatu permit dikeluarkan PDRM," katanya.

Beliau turut mengulangi peringatan supaya semua calon dan parti politik bertanding tidak menimbulkan sebarang provokasi serta memastikan bahan kempen seperti poster dan bendera tidak mengganggu pandangan pengguna jalan raya serta membahayakan keselamatan.

Katanya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 3:07 PM