DZARUL Hakim (kiri), Maizah dan Dol Malek mempamerkan anggur jupiter yang ditanam dalam RLH di Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
DZARUL Hakim (kiri), Maizah dan Dol Malek mempamerkan anggur jupiter yang ditanam dalam RLH di Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Masjid Tanah: Siapa menyangka keputusan berani tiga sekeluarga mencuba untuk menahan pokok anggur secara komersil akhirnya memberi pulangan lumayan.

Penanam pokok anggur berkenaan, Dol Malek Md Sap, 57, dan isteri, Maizah Jalil, 55, serta anak, Dzarul Hakim, 27, kini turut menjadi antara pembekal utama anak pokok anggur di negeri ini.

Berkat komitmen dan kesabaran mereka memperkenalkan tanaman anggur kepada anggota komuniti, anggur dihasilkan mereka kian mendapat tempat di pasaran.

Dol Malek berkata, mereka pernah mengusahakan pokok tin di dalam lima Rumah Lindungan Hujan (RLH) sebelum ini.

"Namun kebanyakan pokok tin itu mati berikutan kami tidak dapat pulang ke Kampung Ramuan Cina Besar di sini, untuk menjaga pokok itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Susulan itu kami cuba bangkit dan beralih kepada penanaman anggur," katanya

Berasaskan minat mendalam untuk mencuba bidang pertanian baharu, bekas pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menimba ilmu berhubung aspek penanaman anggur melalui pembacaan buku dan bahan dalam internet.

Sementara itu Dzarul Hakim yang bertugas sebagai akauntan berkata, mereka mencuba menanam pelbagai jenis anggur seperti jupiter, ninel dan velles yang berbeza warna serta rasa.

"Aspek memangkas atau memotong ranting pokok anggur amat penting bagi membolehkan kami mengawal ke arah mana ia menjalar," katanya.

Maizah berkata, hanya dalam tempoh antara 80 hingga 110 hari selepas ranting dipangkas, pokok akan mula mengeluarkan buah anggur dan boleh dipetik.

Katanya, setakat ini mereka masih belum memasarkan anggur secara komersial kerana yang lebih penting ialah menghasilkan anak pokok anggur yang dipasarkan pada harga antara RM50 hingga RM350 sebatang.

"Kami bercadang menyediakan kemudahan untuk pelanggan memetik sendiri anggur sebelum membelinya mengikut harga pasaran apabila semua RLH sudah mengeluarkan hasil yang konsisten tidak lama lagi," katanya.

Dia berkata, setakat ini, mereka yang hadir di ladangnya diberikan peluang menikmati anggur secara percuma sebelum memilih anak pokok anggur yang diminati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 3:58 PM