Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kira-kira 20 pelanggan di sebuah gerai terselamat dalam kejadian pokok yang ditebang tumbang menghempap premis itu sebelum terbakar di Kampung Kala Baru, di sini, hari ini.

Kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Mohd Noor Pa'su, 66, bersama pelanggan lain sedang minum dan makan tengah hari di gerai terbabit.

Menurutnya, dia bersama pelanggan lain berlari keluar selepas melihat pokok yang ditebang oleh seorang penduduk tumbang ke arah bumbung gerai.

Katanya, dia sempat menjerit kepada pelanggan untuk mengalihkan beberapa motosikal yang diletakkan di tepi gerai.

"Alhamdulillah semua selamat, tiada kemalangan jiwa berlaku dan tidak ada yang tercedera. Apabila tengok pokok hendak tumbang saya terus menjerit dan minta semua pelanggan keluar serta mengalihkan beberapa motosikal.

"Pokok tumbang di gerai sehingga menyebabkan berlaku kebakaran yang berpunca daripada api dapur.

"Kami sedar seorang penduduk sedang menebang pokok, tetapi tidak sangka pokok akan jatuh menghempap gerai ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Suami pemilik kedai, Harun Che Tengah, 57, berkata dia mengetahui kejadian terbabit melalui kumpulan WhatsApp.

"Selepas mengetahui kejadian ini, saya terus datang dan tiada apa yang dapat diselamatkan, namun bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa dan tercedera.

"Pokok ini terletak di belakang kedai dan terpaksa ditebang kerana bimbang akan menghempap kedai jika ribut atau hujan lebat. Tidak sangka ini yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada 12.39 tengah hari dan operasi tamat pada jam 1.20 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 6:49 PM
MOHD Noor (kanan) menunjukkan gerai yang dihempap pokok dan terbakar di Kampung Kala Baru. FOTO Paya Linda Yahya
MOHD Noor (kanan) menunjukkan gerai yang dihempap pokok dan terbakar di Kampung Kala Baru. FOTO Paya Linda Yahya