AB Rauf Yusoh bersama tetamu dan orang awam melaungkan slogan TMM2024 selepas perasmian Hari Bertemu Rakyat Parlimen Masjid Tanah, di Kompleks Sukan Masjid Tanah. FOTO Amir Mamat
AB Rauf Yusoh bersama tetamu dan orang awam melaungkan slogan TMM2024 selepas perasmian Hari Bertemu Rakyat Parlimen Masjid Tanah, di Kompleks Sukan Masjid Tanah. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

Masjid Tanah: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka diarah supaya segera melakukan transformasi pengindahan di semua lapan pintu masuk ke negeri itu menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata semua PBT diberikan tugas dan tanggungjawab mencari kaedah terbaik bagi menghiasi pintu masuk utama ke Melaka, termasuk di plaza Tol Ayer Keroh, Simpang Ampat (Alor Gajah) dan Merlimau (Jasin).

"PBT kena memainkan peranan untuk bersama-sama kerajaan negeri meraikan kehadiran pelancong dan pengunjung ke Melaka sempena TMM2024.

"Kita kena bersedia dengan prasaran terbaik untuk menerima kedatangan pelancong, termasuk dalam bentuk 'people economy' yang terbaik dengan memberi peluang kepada usahawan kecil seperti kraf tangan, homestay serta kedai makan yang sekali gus akan mendapat pulangan menerusi dengan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini

"Pada masa sama, PBT juga bertanggungjawab mengindahkan lokasi yang mempunyai nilai pelancongan di pintu masuk ke Melaka termasuk membabitkan eko-pelancongan seperti di Kuala Linggi serta Laman Tiga Budaya di Asahan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Bertemu Rakyat peringkat Parlimen Masjid Tanah, di Kompleks Sukan di sini hari ini.

Turut hadir, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari.

Melaka mempunyai PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, menjelang TMM2024 yang akan bermula kira-kira 15 hari lagi, kerajaan negeri sedang melakukan sentuhan akhir' bagi menyambut kedatangan 8 juta pelancong tahun depan.

Katanya, sambutan itu akan bermula dengan program berbentuk keagamaan yang akan menjadi acara pembuka tirai TMM2024 bermula dengan Melaka Berselawat di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini pada 25 Disember.

Beliau berkata, pada masa sama, alunan bacaan al-Quran akan diadakan sepanjang hari tanpa henti di lokasi yang sama di samping beberapa lagi aktiviti lain seperti pameran dan jualan produk berkaitan Islam.

"Karnival Islamik akan berlangsung selama seminggu dan saya jangka ia sesuatu yang menarik dan mampu menggamit ribuan pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya," katanya.

Dalam pada itu, malam perasmian TMM2024 yang akan diadakan di Dataran Sungai Melaka di Pengkalan Rama, di sini bakal diwarnai dengan pelbagai acara menarik.

Ia termasuk persembahan artis nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza selain beberapa artis kelahiran Melaka seperti pasangan adik beradik Ziana Zain dan Anuar Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 1:54 PM