GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Aras air 10 sungai di lima negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka, melepasi tahap bahaya setakat 4 petang ini.

Portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan aras air di dua sungai di Pahang, empat di Johor, dua di Melaka dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Terengganu berada pada amaran merah.

Bagaimanapun, hanya dua daripada 10 sungai itu masih menunjukkan peningkatan dengan satu sungai tidak mencatat perubahan aras air dan selebihnya sedang mengalami penurunan.

Di Pahang, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan berada pada paras 16.31 meter, melebihi paras bahaya 14.9m dan masih mencatatkan peningkatan, manakala Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera mencatatkan paras 32.66m (paras bahaya 30.5m), namun sedang menurun.

Di Selangor pula, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam mencatat paras 3.33m, melebihi paras bahaya 2.3m dan masih meningkat ketika ini.

Di Johor, empat sungai yang melebihi tahap bahaya adalah Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar yang mencatat paras 2.57m (paras bahaya 2.35m); selain Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat, (6.38 melepasi paras bahaya 6m), Sungai Segamat di Segamat (9.38m melepasi paras bahaya 9.14m) dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak (4.22m melepasi paras bahaya 4m).

Aras air di empat sungai terbabit menunjukkan pola menurun.

Di Negeri Sembilan, Sungai Muar di Pekan Rompin melepasi tahap bahaya 33m dengan bacaan terkini direkodkan 34.23m namun ia menunjukkan pola menurun.

Di Terengganu, Sungai Nerus di Kampung Langkap dekat Setiu menunjukkan pola menaik dan melepasi tahap bahaya 21m dengan bacaan terkini 21.11m.

Seterusnya di Melaka, dua sungainya melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin mencatatkan bacaan 3.72 melepasi tahap bahaya 3.7m, sementara Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah mencatatkan 2.62m melepasi 2m tahap bahaya.

Sungai Kesang tidak mencatatkan perubahan, sementara Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah menunjukkan pola menurun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 5:31 PM