Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Meru, Klang yang dijangka menempatkan 200 mangsa banjir dari kawasan itu.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Zulfikar Jaafar berkata, PPS kedua itu bagi menampung jumlah mangsa selepas PPS pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dibuka, semalam.

Katanya, banjir di sekitar Meru masih sama dengan paras air meningkat apabila hujan dan kemudian menjadi statik.

"PPS SRA Meru ini sedang dibuka, manakala jumlah mangsa di PPS SK Sungai Binjai meningkat kepada 628 orang setakat ini," katanya ketika dihubungi.

Data Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 8.20 malam menunjukkan 807 mangsa daripada 190 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah ini.

PPS SK Sungai Binjai menempatkan jumlah tertinggi, diikuti PPS SK Kampung Johan Setia 147 mangsa dan Masjid Al Falah Kampung Budiman (32 orang).

Jumlah mangsa banjir di PPS SRA Pekan Meru masih belum dikemaskini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 9:26 PM