ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyelamatkan mangsa banjir di Jalan Hamzah, Kampung  Budiman, petang tadi. FOTO ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyelamatkan mangsa banjir di Jalan Hamzah, Kampung Budiman, petang tadi. FOTO ihsan APM
Norzamira Che Noh


Klang: Sejumlah 211 mangsa banjir daripada 49 keluarga ditempatkan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman setakat jam 10 malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, SK Kampung Johan Setia merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 147 mangsa dari 32 keluarga.

"PPS SK Sungai Binjai, Meru pula merekodkan 32 mangsa dari tujuh keluarga manakala PPS di Masjid Al Falah, Kampung Budiman juga menempatkan 32 mangsa dari 10 keluarga.

"Tiga mangsa banjir dikesan positif Covid-19 dan diasingkan di Dewan Orang Ramai Kampung Budiman, Meru.

"Secara asasnya saya lihat persediaan kita lebih awal iaitu dari segi kemudahan dan khidmat sokongan termasuk kesihatan yang ditempatkan di PPS," katanya ketika ditemui di PPS SK Kampung Johan Setia, semalam.

Amirudin berkata, kebimbangan banjir yang dinyatakan kerajaan negeri sebelum kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen sudah berlaku bagaimanapun katanya, persediaan Selangor lebih teratur dan tersusun.

Katanya, faktor banjir adalah berikutan kadar hujan yang tinggi yang mana Meru merekodkan taburan hujan sebanyak 104 milimeter (mm).

"Dalam Selangor, kalau (taburan hujan) melebihi 80 ke 90 mm, biasanya boleh menyebabkan banjir," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan ada mendapat laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bahawa punca banjir juga disebabkan oleh longkang.

Justeru katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk segera mengambil tindakan di longkang dan 'hotspot' banjir.

Terdahulu, beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat serta parit yang tersumbat.

Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Meru 3; Persiaran Hamzah Alang; Jalan Kasban; Jalan Kenangan; Taman Daya; Jalan Khamis; Jalan Jabar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru dan Taman Setia Warisan Seksyen U6.

Dalam pada itu, berdasarkan pemantauan di Facebook dan Twitter, beberapa kawasan lain turut dinaiki air antaranya, Jalan Haji Abdul Manan, Taman Seri Puteri, dan Jalan Limau di Meru; Taman Seri Sementa; Klang Sentral; Sungai Kapar Indah; Persiaran Hamzah Alang Kapar dan Bandar Puteri Klang.

Turut dinaiki adalah Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan Alam Budiman, Seksyen U10.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 12:26 AM