BEBERAPA kawasan di Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat serta parit yang tersumbat. FOTO Ihsan Bomba
BEBERAPA kawasan di Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat serta parit yang tersumbat. FOTO Ihsan Bomba
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Mangsa banjir di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat kepada 633 orang dari 147 keluarga setakat jam 10.15 pagi ini.

Berdasarkan data di Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa terdiri daripada 198 lelaki dewasa termasuk seorang warga emas; 211 wanita dewasa termasuk empat warga emas,

109 mangsa adalah kanak-kanak lelaki; 97 kanak-kanak perempuan; 15 bayi perempuan dan lapan bayi lelaki.

Turut ditempatkan di PPS adalah tiga orang kurang upaya (OKU) iaitu dua lelaki dan seorang wanita.

Selangor membuka tiga PPS susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang berikutan hujan lebat petang semalam.

PPS berkenaan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman.

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari memaklumkan punca banjir dipercayai akibat kadar hujan yang tinggi yang mana Meru, Klang merekodkan taburan hujan sebanyak 104 milimeter (mm).

"Dalam Selangor, kalau (taburan hujan) melebihi 80 ke 90 mm, biasanya boleh menyebabkan banjir tambahan pula, projek tebatan banjir akan bermula pada tahun hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan beliau mendapat laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor banjir berpunca daripada keadaan longkang.

Justeru katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta untuk segera mengambil tindakan di longkang dan 'hotspot' banjir.

Antara kawasan yang terlibat adalah Jalan Meru 3; Persiaran Hamzah Alang; Jalan Kasban; Jalan Kenangan; Taman Daya; Jalan Khamis; Jalan Jabar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru dan Taman Setia Warisan Seksyen U6.

Beberapa kawasan lain turut dinaiki air antaranya, Jalan Haji Abdul Manan, Taman Seri Puteri, dan Jalan Limau di Meru; Taman Seri Sementa; Klang Sentral; Sungai Kapar Indah; Persiaran Hamzah Alang Kapar; Bandar Puteri Klang; Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan Alam Budiman, Seksyen U10.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 10:52 AM