SUNGAI BULOH 10  NOVEMBER 2022. Calon P107 Sungai Buloh, Khairy Jamaludin melawat dan meninjau Taman Setia Warisan yang berlaku banjir kilat semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
SUNGAI BULOH 10 NOVEMBER 2022. Calon P107 Sungai Buloh, Khairy Jamaludin melawat dan meninjau Taman Setia Warisan yang berlaku banjir kilat semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Irwan Shafrizan Ismail


Cyberjaya: Projek tebatan atau mitigasi banjir perlu diperhebat terutama di kawasan bandar bagi menangani kekerapan berlaku banjir kilat.

Calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, penyelesaian secara holistik perlu dicari bagi menyelesaikan masalah itu yang disifatkan sudah menjadi 'acara' tahunan kawasan bandar termasuk dalam Parlimen Sungai Buloh.

"Ini (cari penyelesaian) keperluan yang sangat mendesak kepada penduduk, sebab kawasan bandar, sebenarnya mana-mana kawasan pun tetapi kawasan bandar terutamanya, seharusnya tidak berdepan dengan masalah banjir sebegini.

"Ramai yang boleh kata ini adalah kesan daripada perubahan iklim, tetapi saya lihat perlu ada banyak kemudahan dan projek tebatan banjir yang mesti diperhebatkan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pengoperasian Hospital Cyberjaya, di sini, hari ini.

Memberi contoh banjir di Kampung Melayu Subang dan Taman Setia Warisan dalam Parlimen Sungai Buloh, Khairy berkata, ia bukan lagi jarang berlaku tetapi seperti bencana tahunan yang berlaku tiga atau empat kali setahun.

"Semalam di Taman Setia Warisan, memang jelas ban yang menahan air sungai memang tidak mencukupi panjangnya. Bila air sungai mengalir selepas selekoh ia akan melimpah, memasuki kawasan perumahan, ini menyusahkan penduduk.

"Jika saya dipilih sebagai Ahli Parlimen (Sungai Buloh) nanti, kita perlu duduk sekali dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan untuk membuat senarai dan pemetaan kawasan risiko tinggi (banjir), apa keperluannya dan sediakan penyelesaian holistik," katanya.

Beberapa kawasan di Shah Alam, Meru dan Klang dilanda banjir berikutan hujan lebat petang semalam menyebabkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 3:30 PM