KHAIRY beramah mesra bersama pemilik dan pekerja nurseri ketika lawatan di sekitar Bukit Rahman Putra. FOTO Bernama
KHAIRY beramah mesra bersama pemilik dan pekerja nurseri ketika lawatan di sekitar Bukit Rahman Putra. FOTO Bernama
Noor Atiqah Sulaiman


Sungai Buloh: Calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mahu membangunkan pusat rekreasi yang dinamakan sebagai Garden@Sungai Buloh sekiranya memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, perkara itu juga termasuk sebagai salah satu manifesto di Sungai Buloh yang akan diumumkan esok.

"Taman berkenaan akan bekerjasama dengan pengusaha tapak semaian dan kita akan mencari tempat untuk mewujudkan Garden@Sungai Buloh itu sebagai satu tempat rekreasi dan perkelahan untuk orang Sungai Buloh.

"Kita mahu pertahankan kawasan hijau di Sungai Buloh dan ia sangat dekat dengan hati saya. Malah saya akan pertahankan perniagaan pengusaha kecil tapak semaian ini," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan wakil pengusaha tapak semaian di Kampung Matang Pagar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Kesihatan itu berkata, beliau akan mempertahankan tapak nurseri di kawasan itu serta berjanji akan membantu pengusaha itu mendapatkan lesen pendudukan sementara (TOL).

"Sebahagian daripada pengusaha (nurseri) ini mengalami masalah tak dapat sambung TOL. Ia tak dapat disambung kerana status tanah mereka terletak di bawah kawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkenaan belum mengeluarkan surat kebenaran kepada pengusaha itu, maka Pejabat Tanah tidak boleh keluarkan surat kebenaran.

"Masalah ini sudah dua tahun tidak dapat diselesaikan. Ada yang kata itu bukan kerja Ahli Parlimen tetapi takkan saya tengok sahaja dan sebab itu saya perlu buat sesuatu. Saya tidak boleh berjanji (untuk dapatkan status tanah) tetapi saya berjanji akan perjuangkan isu ini supaya mereka boleh dapat TOL," katanya.

Dalam pada itu, mengenai isu tapak nurseri itu perlu dipindahkan ke Bukit Changgang, Sepang, Khairy berkata, sekiranya berjaya mendapatkan Sungai Buloh, beliau tidak mempunyai masalah untuk berbincang dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengekalkan perniagaan berkenaan.

"Mereka ini sudah berada di Sungai Buloh sejak 20 tahun lebih, malah lokasinya strategik berada berdekatan jalan raya. Ramai orang pergi ke sana. Perniagaan tapak nurseri ini sangat sinonim dengan Sungai Buloh.

"Kawasan yang mereka perlu pindah itu jauh, kira-kira satu jam dari sini malah kawasan yang diberikan itu adalah tempat tadahan hujan. Alasan yang diberikan adalah untuk melebarkan jalan, malah pengusaha ini juga bersetuju untuk kebelakangan sedikit tapak perniagaan mereka supaya jalan dapat dilebarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 6:32 PM