Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Masalah banjir melanda Taman Setia Warisan, Kampung Melayu Subang, Selangor, semalam mendapat perhatian calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yang turun padang mendengar keluh kesah penduduk.

Khairy juga turut berjanji akan menghantar pasukan untuk mencuci rumah penduduk selepas banjir surut kelak.

"Dua hari lalu, saya baru saja cakap mengenai banjir dan hari ini (semalam) berlaku kejadian yang tidak diingini ini akibat limpahan sungai berdekatan dan ban yang tidak cukup panjang. Apabila air sungai deras ia melimpah.

"Jadi kita akan usahakan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pun dah bagi cadangan supaya tinggikan tembok atau sambung ban yang sudah dibina hingga ke bawah agar air tidak melimpah. Saya harap penduduk di sini sabar," katanya.

KHAIRY ketika membuat tinjauan banjir di Taman Setia Warisan, Kampung Melayu Subang, semalam. FOTO Ihsan FB Khairy
KHAIRY ketika membuat tinjauan banjir di Taman Setia Warisan, Kampung Melayu Subang, semalam. FOTO Ihsan FB Khairy

Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata, masalah utama di kawasan itu adalah isu banjir yang sudah 15 tahun berlarutan.

"Saya sendiri sudah tengok keadaan perparitan dan keadaan sungai. Sungai nampak dalam tapi bila hujan lebat, ia akan melimpah dan memang menjadi satu musibah yang terlalu kerap berlaku di sini.

"Dalam manifesto, memang saya akan tekankan penyelesaian yang tuntas dari segi isu banjir ini. Tetapi perkara ini memerlukan koordinasi. Bukan hanya kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi juga kerajaan pusat.

"Yang pasti, ini adalah antara perkara yang paling penduduk Kampung Melayu Subang tidak puas hati.

"Selama lebih 15 tahun, masih tidak ada penyelesaiannya. Insya-Allah, saya akan usahakan penyelesaian yang tuntas. Sistem perparitan sangat terhad, sangat daif, dan memerlukan sistem perparitan yang lebih teratur, lebih berkesan dan lebih luas.

"Ini adalah antara agenda utama saya dan kita akan usahakan," katanya.

KHAIRY ketika membuat tinjauan banjir di Taman Setia Warisan, Kampung Melayu Subang, semalam. FOTO Ihsan FB Khairy
KHAIRY ketika membuat tinjauan banjir di Taman Setia Warisan, Kampung Melayu Subang, semalam. FOTO Ihsan FB Khairy

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 10:21 AM