Oleh Hidayatidayu Razali dan Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Kerajaan Persekutuan komited untuk meneruskan projek yang diluluskan oleh pentadbiran lalu termasuk projek tebatan banjir Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan bukan sahaja mengkaji, malah mahu melaksanakan projek yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu dengan kadar segera.

Kata beliau, projek ini akan dilaksanakan secara holistik dan mencari penyelesaian kepada masalah banjir yang berlaku.

"Antara projek yang akan diteruskan adalah projek tebatan banjir di Pasir Mas yang berlaku akibat limpahan air dari negara jiran.

Projek ini diteruskan supaya air tidak melimpah disebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berhampiran atau sepanjang air dari Sungai Golok.

"Selain itu, kerajaan juga akan memberi fokus dan melaksanakan projek tebatan banjir bagi jangka masa panjang.

"Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memohon peruntukan RM2.21 bilion yang mana sebahagiannya sudah dan sedang dilaksanakan. Peruntukan yang belum dibelanjakan, terutama untuk kawasan yang belum siap projek tebatan banjir, akan dilakukan penyambungan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh di sini, hari ini sempena lawatan rasmi dan menziarah mangsa banjir.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kerajaan Persekutuan akan membantu kerajaan negeri untuk menangani masalah banjir ini demi rakyat.

"Selain itu, untuk seluruh negara, kita akan melakukan acuan yang sama (tebatan banjir) untuk rancangan jangka masa panjang bagi pengurusan banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 1:33 PM
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  pada sidang media ketika hadir melawat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media ketika hadir melawat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR