MOHD Nizar (baju merah) bersama Khairul Shahril (kanan).
MOHD Nizar (baju merah) bersama Khairul Shahril (kanan).

Ipoh: "Kami bergerak sederap," kata penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Maksud bergerak sederap itu adalah kempen secara bersama dengan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed dan DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah dikenali sebagai Cikgu Din.

Mohd Nizar berkata, ia penting bagi menunjukkan kerjasama satu pasukan dan keakraban mereka bertiga bagi meyakinkan pengundi di Bota, Belanja dan seluruh Parit.

"Ia tidak jadi penghalang kerana saya akan berkempen secara berjemaah dengan kedua-dua mereka (calon DUN Bota dan DUN Belanja) seberapa banyak yang boleh.

"Apabila ada suasana harmoni antara calon, maka saya di peringkat Parlimen dan Shahril (Bota) serta Cikgu Din (Belanja) kena berjalan seiring.

"Barulah pembangkang rasa gerun apatah lagi cerita deme (pembangkang) yang suka berputar-belit di Parit ini," katanya.

Mohd Nizar berkata, peranan BN penting untuk menjadi parti yang dominan dalam kerajaan.

"Ini bagi memastikan kerajaan baru yang akan datang ini berfungsi dengan cemerlang.

"Peranan BN sangat penting dalam menjamin kestabilan politik dan kerajaan demi kemakmuran rakyat dan ekonomi, katanya.

Malahan menurut Mohd Nizar, kemenangan mutlak 3-0 yang diyakini pengundi di sini sangat dituntut sebagai sumbangan besar membentuk kerajaan negeri baharu dan kerajaan Persekutuan selepas 19 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 4:55 PM