MUBARAK (kiri) dan Amran  turun padang membantu kempen calon BN di Parlimen Parit.
MUBARAK (kiri) dan Amran turun padang membantu kempen calon BN di Parlimen Parit.

Parit: Kempen Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) di Parlimen Parit dimeriahkan dengan kehadiran pelakon veteran drama dan filem, Mubarak Majid dan Amran Nasaruddin yang turun padang membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Mubarak yang juga pelakon filem blockbuster Mat Kilau dan pelakon lelaki terbaik menerusi filem pendek Coofie & Sexy Dress terbitan Buffalo Orange Pictures Sdn Bhd di Motion Horse International Film Festival (MHIFF) 2022 yang diadakan di India turun menyantuni penduduk sekitar Parit termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja atas dasar tanggungjawab dan sayangkan negara ini demi kemakmuran.

Mubarak, 66, yang berkecimpung lebih empat dekad dalam dunia seni berkata, beliau bersama-sama dengan Amran melakukan walkabout di sekitar Kampung Senin, Layang Kanan, Kampung Nasaruddin, Kampung Kuchai dan pekan Parit.

Beliau juga sempat singgah di majlis ramah mesra makan tengah hari bersama Hari Keluarga Kampung Senin sambil melihat calon BN Parit dan calon BN Belanja bermain sukan rakyat.

Mubarak berkata, beliau berharap penduduk sekitar DUN Belanja, DUN Bota yang termasuk di Parlimen Parit menyokong jentera dan ketiga-tiga calon BN demi melihat perubahan dan kemakmuran menerusi sebuah kerajaan yang stabil.

"Saya yakin sumbangan kerusi yang mutlak boleh diperoleh di sini (Parlimen Parit).

"Cukuplah zaman kesengsaraan tempoh hari (22 bulan) dan berharap ia tidak berulang lagi," katanya. Pandangan sama turut dikongsi Amran yang berharap pengundi bijak menilai calon dan parti mana yang layak menerajui kerajaan baharu nanti.

"Jangan ingat pengundi boleh diperbodohkan kerana pengundi sekarang mahukan calon yang boleh buat kerja, parti yang boleh buat kerja. Bukan berjanji tidak tentu arah.

"Saya sayangkan negara ini dan sudah tentu mengharapkan BN boleh kembali memerintah dengan jayanya. InsyaAllah," katanya.

Dalam PRU-14 lalu, Mohd Nizar menang atas tiket BN meraih 14,035 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 6,320 undi menewaskan calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 4:35 PM