MOHD Nizar (kanan) bersama Khairul Shahril (kiri) menunjukkan kebolehan bermain alat muzik tradisional.
MOHD Nizar (kanan) bersama Khairul Shahril (kiri) menunjukkan kebolehan bermain alat muzik tradisional.

Parit: Berkempen secara unik, itulah cara penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria serta penyandang dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed menyantuni anak muda dengan bermain gendang dan gong di Titi Gantung, Bota.

Aktiviti secara bersantai itu turut diraikan anak muda dengan bermain alat muzik tradisional seperti serunai, gendang ibu, gendang anak dan tamburin.

Mohd Nizar berkata, sesibuk mana pun mereka berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun beliau tetap tidak lupa meluangkan masa bersama anak muda.

"Inilah cara untuk kita dekati golongan anak muda menerusi muzik tradisional. Anak muda perlu diberikan sokongan dan dokongan.

"Mereka perlu diambil tahu dan sentiasa bersama mereka. Barulah ukhuwah itu semakin rapat dan disatukan menerusi muzik," katanya malam ini.

Turut bersetuju, Khairul Shahril yang dilihat tidak kekok sambil memukul gong mengikut tempo dengan lagu yang dimainkan.

"Saya sangat gembira apabila anak-anak muda ini menunjukkan minat yang sangat mendalam terhadap permainan muzik tradisional yang kini semakin tenggelam ditelan zaman.

"Moga kesungguhan anak-anak muda ini akan terus memperjuangkan alat muzik ini yang bukan saja berkisarkan di Perak saja tetapi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa" katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Pada malam itu, calon BN DUN Bota turut mencuba dan belajar meniup serunai sambil gendang anak dipalu Mohd Nizar secara spontan mengikut irama lagu yang dimainkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 12:14 AM