BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua kiri) mengumumkan calon pakatan pembangkang  DUN Bota, Azrul Hakkim Azhar (kiri), calon DUN Manong, Mohd Isa Jaafar (tiga kiri) dan calon DUN Belanja ,Yahanis Yahya di Ceramah Mega Pakatan Harapan Parlimen Parit di Bandar Universiti, Seri Iskandar. - Foto Abdullah Yusof
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua kiri) mengumumkan calon pakatan pembangkang DUN Bota, Azrul Hakkim Azhar (kiri), calon DUN Manong, Mohd Isa Jaafar (tiga kiri) dan calon DUN Belanja ,Yahanis Yahya di Ceramah Mega Pakatan Harapan Parlimen Parit di Bandar Universiti, Seri Iskandar. - Foto Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) malam ini mengumumkan calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota dan Belanja dalam Parlimen Parit.

Pengumuman calon dibuat selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selesai menyampaikan ceramahnya pada Program Ceramah Mega Pembangkang di Bandar Universiti dekat sini.

Kerusi DUN Bota diwakili ahli perniagaan, Azrul Hakkim Azhar yang akan menentang Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Shahril Mohamad dan Yang Dipertua PAS Parit, Muhamad Ismi Mat Taib.

Bagi DUN Belanja, PPBM mempertaruhkan seorang akauntan, Yahanis Yahya yang akan ditentang Setiausaha UMNO Bahagian Parit, Khairuddin Abu Hanifah dan wakil PAS, Mohd Zahid Abu Bakar.

Turut diperkenalkan calon Parlimen Parit dari Parti Amanah Negara (PAN), iaitu Timbalan Pengerusi PAN Wilayah Persekutuan, Datuk Tarmizi Mohd Jam dan calon DUN Manong yang mewakili PPBM, Mohd Isa Jaafar.

Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi sebelum ini sudah pun mengumumkan Tarmizi sebagai calon mewakili PAN di kerusi Parlimen berkenaan minggu lalu.

Pengumuman calon pakatan pembangkang yang mewakili PPBM itu adalah yang pertama dibuat kerana hanya PPBM sahaja yang masih belum mengumumkan senarai calon dan kerusi yang akan ditandingi di seluruh Perak.

PAN sudah pun mengumumkan semua calon yang akan bertanding mewakili parti itu menggunakan lambang PKR pada minggu lalu manakala PKR akan mengumumkannya pagi Khamis.

Difahamkan, PPBM Perak hanya akan mengeluarkan senarai calon bertanding di kerusi DUN dan Parlimen Perak kepada media pada petang Khamis tanpa memanggil sebarang sidang media.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 1:08 AM