ANUAR (kanan) membantu menghantar seorang pelajar terbabit kemalangan jalan raya di Pekan Banting ke Hospital Banting. FOTO ihsan pembaca
ANUAR (kanan) membantu menghantar seorang pelajar terbabit kemalangan jalan raya di Pekan Banting ke Hospital Banting. FOTO ihsan pembaca
Samadi Ahmad


Sepang: Keprihatinan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepang, Anuar Basiran terserlah apabila tidak kekok membantu seorang pelajar yang terbabit kemalangan di lampu isyarat berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Banting, di sini, hari ini.

Beliau yang dalam perjalanan dari kediamannya di Banting menuju Dengkil untuk berkempen kebetulan melalui jalan berkenaan ternampak mangsa Muhammad Haikal Kamarozaman, 17, dalam kesakitan di tepi jalan selepas motosikalnya dilanggar sebuah motosikal lain, kira-kira 7.30 pagi.

Anuar turut mengarahkan pegawai khasnya menghantar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu ke Hospital Banting menggunakan kenderaan peribadi untuk mendapatkan rawatan.

"Saya arahkan pegawai khas menghantar pelajar terbabit ke Hospital Banting menggunakan kenderaan peribadi.

"Selepas semua urusan selesai baru kami meneruskan perjalanan ke Dengkil," katanya ketika ditemui ketika mengadakan 'walkabout' di Klinik Kesihatan Dengkil di sini hari ini.

Sementara itu bapa mangsa, Kamarozaman Abdullah, 53, yang juga anggota polis di IPD Banting mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Anuar membantu anaknya.

Menurutnya, walaupun tidak mengenali Anuar, namun sikap keprihatinannya menunjukkan beliau seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri.

Katanya, anaknya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting dan menunggang motosikal bersendirian ke sekolah setiap hari.

"Ketika ini keadaan anaknya stabil. Muhammad Haikal sepatutnya menduduki peperiksaan percubaan pagi ini.

"Dia kelihatan sedih namun saya sudah menghubungi pihak sekolah untuk mengatur peperiksaan yang bakal didudukinya itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 1:11 PM