ANUAR.
ANUAR.
Samadi Ahmad

Putrajaya: Naib Ketua Umno Sepang, Anuar Basiran yang dipilih sebagai calon Parlimen Sepang mengakui berdepan 'jalan berliku' menentang tiga calon parti lain yang kesemuanya diwakili wanita.

Anuar, 45, yang juga seorang usahawan dan anak tempatan Tanjung Sepat di sini, mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi parti kerana memberi kepercayaan kepada beliau menggalas tanggungjawab besar ini.

Dia berikrar untuk mengembalikan kerusi Parlimen Sepang yang hilang sekali gus menyumbangkan kemenangan kepada BN bagi membentuk kerajaan.

Katanya, BN sebuah parti yang prihatin dan sentiasa membantu rakyat.

"Walaupun akan berhadapan dengan bekas menteri, ia bukan halangan untuk saya menambat hati pengundi memilih BN. Setiap parti mempunyai kekuatan tersendiri," katanya tadi.

Anuar bakal berdepan tiga calon wanita yang sudah mengesahkan bertanding di Sepang iaitu bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang juga Ketua Srikandi Bersatu Sepang, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Turut tersenarai bertanding, calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) diwakili Ketua Pejuanitanya, Che Asmah Ibrahim dan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Raj Muni Aiman Athirah.

Anuar berkata, beliau juga tidak memandang ringan tiga calon wanita yang bertanding di kawasan itu kerana semua calon itu dianggap hebat.

Beliau berharap semua parti yang bertanding mempamerkan persaingan secara sihat bagi mewujudkan keharmonian rakyat di kawasan Sepang.

"Saya akan bekerja keras bersama jentera parti bagi memastikan kerusi Parlimen Sepang bakal jadi milik BN pada PRU-15 nanti, "katanya.

Pada PRU-14, Mohamed Hanipa Maidin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Sepang selepas meraih 46,740 undi.

Mohamed Hanipa menewaskan calon BN yang juga Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing dengan majoriti 18,705 undi.

Marsum mendapat 28,035 undi manakala calon Pas, Sabirin Marsono memperoleh 15,882 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 8:42 PM