PETUGAS SPR di Pusat Penamaan Calon (PPC) Parlimen P.012 Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, Jerai. FOTO Danial Saad
PETUGAS SPR di Pusat Penamaan Calon (PPC) Parlimen P.012 Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, Jerai. FOTO Danial Saad
Rafidah Mat Ruzki dan Irwan Shafrizan Ismail


Image

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan enam kertas pencalonan ditolak pada penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata kertas pencalonan ditolak membabitkan empat kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Tiada kerusi yang menang tanpa bertanding pada penamaan calon PRU-15 hari ini.

"Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan merekodkan jumlah pertandingan tertinggi dengan iaitu sebanyak 10 penjuru manakala DUN Chenderiang di Perak membabitkan tujuh penjuru.

"Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya juga membabitkan pertandingan tujuh penjuru," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, maklumat terperinci berhubung penamaan calon hari ini akan dikeluarkan SPR pada petang ini.

"Dengan selesainya urusan penamaan calon, maka tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam 18 November," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 222 pusat penamaan calon dibuka dari jam 9 hingga 10 pagi bagi calon mengemukakan pencalonan.

Katanya, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang menjalankan tugas dengan lancar hari ini.

Selain itu beliau berkata, kenyataan mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan kempen dan mengundi termasuk bagi kes positif Covid-19 pula akan dikeluarkan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 4:24 PM