Ekhwan Haque Fazlul Haque

Image

Bera: Pertembungan tiga penjuru berlaku di Parlimen Bera antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kali ini.

BN menampilkan penyandang kerusi Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan menentang Abas Awang mewakili PH manakala Asmawi Harun atas tiket PN.

Perdana Menteri yang mendominasi kerusi Parlimen Bera sejak 2004 dijangka tidak berdepan laluan sukar untuk terus mengekalkan kemenangan dalam PRU-15.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Guai, persaingan empat penjuru berlaku antara Datuk Sabariah Saidin mewakili BN, Noraini Abdul Ghani (PH), Nor Hashimah Mat Noh (PN) dan calon bebas Jafari Mohd Yusof.

Kerusi Triang yang diwakili PH dalam penggal lalu menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila penyandangnya Leong Yu Man dicabar Yee Cheng Hwa (BN) dan Muhammad Izzuddin Zulkifli (PN).

Dalam pada itu, kerusi Dun Kemayan hanya menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Khaizulnizam Mohamad Zuldin yang mewakili BN manakala Shapuan Hussin (PN).

Ini susulan kertas pencalonan yang dikemukakan Manolan Mohamad yang mewakili PH ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

ISMAIL Sabri  (dua kanan) bersama calon yang bertanding sempena PRU-15. FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri (dua kanan) bersama calon yang bertanding sempena PRU-15. FOTO Hairul Anuar Rahim

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif memaklumkan pihaknya menerima borang pencalonan pertama pada 9.03 pagi.

Proses penyerahan borang pencalonan diadakan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.

Lebih 1,000 penyokong semua parti bertanding berkumpul di perkarangan dewan bagi memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Seramai 77,669 pengundi akan menunaikan tanggungjawab 19 November depan bagi Parlimen Bera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 12:42 PM