DR Mahathir, calon Parlimen Langkawi selepas tamat proses penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi hari ini. FOTO Bernama.
DR Mahathir, calon Parlimen Langkawi selepas tamat proses penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi hari ini. FOTO Bernama.
Irwan Shafrizan Ismail


Image

Putrajaya: Calon Pejuang di Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 96 tahun menjadi calon tertua yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata, bagi Dewan Undangan Negeri (Dun), Fuaddin Kamaruddin, 70, mewakili Pejuang menjadi calon tertua bertanding iaitu di Dun Kubu Gajah.

"Bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, Sabah, calon paling tua adalah Karil Pg Kurani berusia 76 tahun, bertanding mewakili Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)

"Calon Bebas di Parlimen Tenom, Peggy Chaw Zhi Ting, berusia 23 tahun menjadi calon termuda untuk kerusi Parlimen.

"Di kerusi Dun pula, calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Syahmi Suhaimi, 23 tahun, bertanding di Dun Tambun Tulang, manakala Dun Bugaya, calon bebas, Jufazli Shi Ahmad, 33," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejurus tamatnya tempoh penamaan calon pada jam 10 pagi, sebanyak 1,392 kertas penamaan dikemukakan oleh pelbagai parti dan individu yang akan bertanding dalam PRU-15 dan PRK Dun Bugaya, Sabah.

"Ia membabitkan 949 di Parlimen, 436 di Dun dan tujuh di Dun Bugaya," katanya.

Selain itu Abdul Ghani berkata, bagi bilangan penjuru menyaksikan pertandingan dua penjuru di sembilan Parlimen dan satu Dun; tiga penjuru (54 Parlimen, 51 Dun); empat penjuru (82 Parlimen, 47 Dun); lima penjuru (43 Parlimen, 12 Dun); enam penjuru (24 Parlimen , empat Dun); tujuh penjuru (lima Parlimen, satu Dun); lapan penjuru (tiga Parlimen); sembilan penjuru (satu Parlimen) dan 10 penjuru (satu Parlimen).

"Dun Bugaya menyaksikan pertandingan tujuh penjuru," katanya.

Beliau berkata, mengikut jantina, seramai 818 calon lelaki dan 127 calon wanita bertanding di Parlimen, di Dun ( 375 lelaki, 59 wanita) manakala di Dun Bugaya (enam lelaki dan satu wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 9:43 PM