ISMAIL Sabri, Muhyiddin dan Anwar. FOTO arkib NSTP
ISMAIL Sabri, Muhyiddin dan Anwar. FOTO arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


Image

Kuala Lumpur: Dinamakan sebagai calon Perdana Menteri tidak menjanjikan laluan mudah kepada calon jawatan nombor satu itu di Parlimen yang ditandingi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional (PN)) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan (PH) menerima saingan sengit di kawasan yang ditandingi, masing-masing di Parlimen Bera, Pagoh dan Tambun.

Ismail Sabri yang menjadi Ahli Parlimen Bera sejak 2004 akan bertemu dua pencabarnya, iaitu Abas Awang (PH) dan Asmawi Harun (PN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), Naib Presiden Umno itu menang dengan majoriti 2,311 undi.

Di Pagoh, Muhyiddin bersaing dalam pertembungan tiga penjuru, berdepan Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah Abd Rahman (PH).

Muhyiddin dipilih sebagai Ahli Parlimen Pagoh pada 1978 atas tiket BN, sebelum bertanding dan menang di Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang serta dilantik sebagai Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995.

Beliau kemudian dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Pagoh pada PRU 1995 sehingga PRU 2018.

Pada 2018, beliau bertanding atas tiket PKR dalam PRU-14, selepas dipecat daripada Umno pada 2016, dan kemudian menubuhkan Bersatu bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi PH akan berdepan tiga pencabar di Parlimen Tambun, termasuk penyandang kerusi, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN).

Dua lagi calon ialah Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN) dan Abdul Rahim Tahir (Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Anwar ialah penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 8:01 PM