Zahratulhayat Mat Arif


Image

Bagan Datuk: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal berdepan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi berkenaan untuk tempoh lima penggal akan berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Muhammad Faiz Na'aman dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dari Pakatan Harapan (PH).

Turut bertanding ialah anak bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Benut iaitu Tawfik Ismail (Bebas).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah mengumumkan nama kesemua calon yang bertanding berkenaan di pusat penamaan calin di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh pada 11.11 pagi.

Muhamad Gopran berkata, Dr Muhammad Faiz menyerahkan borang penamaan pada 9 pagi diikuti Tawfik (9.01 pagi); Shamsul Iskandar (9.08 pagi) dan Ahmad Zahid (9.13 pagi)

"Saya menerima empat nama calon untuk kerusi Parlimen (Bagan Datuk) dan berpuas hati," katanya.

Difahamkan, terdapat seramai 58,183 pengundi di Bagan Datuk, tahun ini.

Pada PRU-14 lalu, Ahmad Zahid menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli (Pas) dengan majoriti 5,073 undi.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN) ketika hadir hari Penamaan Calon di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA). FOTO Fariz Iswadi Ismail
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN) ketika hadir hari Penamaan Calon di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA). FOTO Fariz Iswadi Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 1:29 PM