CHE Asmah.
CHE Asmah.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Walaupun baru menceburi bidang politik, namun Ketua Pejuanita Malaysia Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datin Che Asmah Ibrahim terpanggil untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Che Asmah, 59, yang dipilih sebagai calon Parlimen Sepang P113 mewakili parti Gabung Tanah Air (GTA) nekad bertanding bagi membela dan merubah kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

Semuanya dilakukan atas dasar prihatin terhadap masalah yang sering dihadapi penduduk Sepang terutama membabitkan alam sekitar.

Malah, beliau yang juga bekas Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, juga 'masak' dengan masalah dihadapi penduduk setempat kerana sudah lebih 20 tahun tinggal di Sepang.

"Sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Sepang perkara utama yang akan diselesaikan adalah masalah alam sekitar.

"... Terutama membabitkan ladang babi, pencemaran sungai dan banjir yang kerap berlaku di beberapa kawasan berdasarkan, itu berdasarkan pengalaman kerja saya sebelum ini.

"Masalah penternakan babi secara tidak terkawal yang menyebabkan pencemaran bau, sungai dan laut perlu diubah segera secara moden kerana rakyat sudah tidak mampu berdepan masalah yang dihadapi sejak puluhan tahun," katanya kepada media di Pejabat Pejuang di sini hari ini.

Untuk rekod Che Asmah juga adalah bekas Pengarah Bahagian Udara JAS berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari Universiti Missouri- Colombia, Missouri dan Penilaian Kesan Alam Sekitar dari sebuah universiti di United Kingdom.

Selain Che Asmah, tiga calon sudah mengesahkan bertanding di Parlimen Sepang adalah Naib Ketua Umno Sepang mewakili Barisan Nasional (BN), Anuar Basiran; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang juga Ketua Srikandi Bersatu Sepang, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Raj Muni Aiman Athirah.

Menerusi pengesahan ini, Parlimen Sepang bakal ditandingi empat penjuru, namun terdapat desas-desus mengatakan sekurang-kurangnya dua lagi calon parti bebas akan bertanding.

Che Asmah berkata, walaupun bakal berdepan calon hebat dan terkenal seperti Datuk Seri Rina Harun, namun masing-masing ada kekuatan sendiri untuk menambat hati rakyat terutama untuk mengundi GTA.

"Sebagai bekas penjawat awam yang terbabit secara langsung dengan alam sekitar, saya yakin mampu melaksanakan tanggungjawab diberikan.

"Selain membantu meningkat ekonomi dan pembangunan penduduk setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 1:32 PM