WAN  Mohd Zakri (tengah),  Tengku Farok (dua kanan) dan Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Mat (kanan) melihat buku OACP Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu. FOTO Zaid Salim.
WAN Mohd Zakri (tengah), Tengku Farok (dua kanan) dan Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Mat (kanan) melihat buku OACP Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


Kuala Terengganu: "Bayangkan kita sebagai 'si penghukum di mahkamah' tetapi dilabelkan sebagai perasuah, sangat memalukan," kata Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Beliau berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR) memandang serius perkara itu, dan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap kakitangan jabatan itu jika didapati terbabit rasuah.

"Jabatan ini dipandang tinggi oleh masyarakat dan tidak seharusnya perkara atau perbuatan yang menyalahi undang-undang berlaku dalam jabatan.

"Ingat, kita ini orang kehakiman dipandang tinggi oleh masyarakat. Kalau kita tidak berintergriti, mana kita nak sorok muka kita. Rasuah berlaku bila kita tiada integriti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku PelanAnti Rasuah Organisasi (OACP) JKSTR yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, buku OACP sangat berguna untuk dijadikan rujukan, peringatan dan amaran supaya tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang ketika menjalankan tugas.

"Walaupun sudah ada larangan dalam Islam mengenai rasuah tetapi satu peraturan dan kaedah seperti buku ini (OAC), kita bolehlah menjadikan buku ini kaedah dan panduan yang lebih spesifik untuk perjalanan pentadbiran yang lebih licin dan baik khususnya yang berkaitan dengan intergriti," katanya.

Sementara itu, Tengku Farok berkata, OACP adalah usaha kerajaan dalam mengekang budaya amalan rasuah di kalangan penjawat awam.

Beliau berkata, penjawat awam adalah golongan yang berisiko tinggi terhadap perlakuan rasuah, justeru kerajaan memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

"Pelan Antirasuah Nasional (NACP) ini adalah sebagai dokumen utama Kerajaan Malaysia menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah dan pelan OACP adalah satu cara untuk menyedarkan penjawat awam mengenai bahayanya aktiviti rasuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 8:28 PM