Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) Kelantan memuktamadkan sembilan kerusi Parlimen kepada PAS dan lima untuk BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara PAS dengan BERSATU.

Katanya, senarai calon ini akan diumumkan oleh Pengerusi PN Kelantan merangkap Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di pekarangan Stadium Sultan Muhammad V pada 2 November depan.

"Pengumuman calon di 14 kerusi Parlimen akan dibuat pada 2 November kerana kemungkinan akan ada pertukaran kerusi. Namun, pembahagian untuk PAS adalah sembilan kerusi dan lima kepada BERSATU.

"Calon yang akan diumumkan ini melepasi tapisan awal iaitu PAS oleh Majlis Syura Ulama, manakala BERSATU pula seperti yang diumumkan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Calon ini sudah dipersetujui di peringkat kepimpinan tertinggi parti dan bersih serta berintegriti," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri Kelantan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerja PN, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan Setiausaha BERSATU Kelantan, Ahmad Nasruddin Abdullah.

Mengulas lanjut, Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, kemungkinan ada pertambahan calon wanita dalam PRU-15 ini dan juga calon muda.

Ketika ditanya sama ada Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kekal bertanding pada PRU-15 pada 19 November ini, Wan Roslan berkata, keputusan itu belum dimuktamadkan lagi.

"Keputusan calon yang akan bertanding akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat. Kerjasama antara PAS dengan BERSATU juga cukup mantap dan kita akan mengatur gerak kerja sebaik selepas penamaan calon.

"Semua kerusi insya-Allah PAS letak jentera yang akan kerja dengan keras walaupun kerusi selesa, apatah lagi yang tidak selesa.

"Kita juga mensasarkan akan menyapu bersih semua kerusi hasil kerjasama semua pihak. Kita juga mensasarkan (menang) Parlimen Jeli dan berharap BERSATU boleh membawa sekurang-kurangnya lima peratus penyokong UMNO," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 1:28 PM