GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) Kelantan akan mengumumkan senarai calon yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 27 Julai ini.

Setiausaha Badan Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, berkata, setiap calon yang terpilih adalah hasil kajian awal pilihan raya yang dikemukakan di peringkat akar umbi.

Katanya, sebanyak 50 peratus muka baru akan diperkenalkan dan kesemua calon yang dipilih dipercayai mampu memenuhi hasrat pengundi di setiap kawasan bertanding.

"Badan Perhubungan PN Kelantan sudah selesai membuat tapisan senarai calon yang mana sebanyak 39 kerusi akan dipertandingkan di bawah Pas, manakala enam kerusi lagi untuk Bersatu.

"Sementara itu, satu lagi kerusi belum diputuskan sama ada di Kuala Balah atau Bukit Bunga, juga dalam Parlimen Jeli.

"Pas sendiri mementingkan imej bersih serta personaliti calon yang terbaik selain bakal memperkenalkan anak muda yang mendapat pendidikan bukan sahaja dari dalam tetapi juga luar negara," katanya dalam sidang media Khas PRN Kelantan di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Roslan yang juga Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan berkata, tema PRN kali ini adalah 'Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera' sama seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Manifesto akan dilancarkan pada 31 Julai, yang mana akan menawarkan pelbagai program baharu kepada rakyat Kelantan sejajar dengan tema yang dipilih.

"Berkenaan dengan calon wanita, kita akan pastikan jumlahnya kekal seperti sedia ada dan berkemungkinan lebih daripada jumlah itu bergantung kepada pengumuman nanti," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 5:22 PM