Omar Ahmad


Johor Bahru : Dikawal sindiket penyeludupan pekerjaan dan diekori 24 jam ke mana sahaja jika keluar dari hostel.

Itu antara pengalaman menakutkan yang dialami tujuh mangsa sindiket penyeludupan pekerjaan dari Johor yang diselamatkan selepas hampir lima bulan di Kampung Sok, Phnom Penh, Kemboja.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Wan, berkata, dia diperdaya ejen sindiket yang juga warga tempatan dengan tawaran gaji lumayan AS$1,100 (RM5,195) sebulan.

Namun selepas tiba di lokasi, mereka dipaksa menandatangani dokumen kontrak pekerjaan sebagai 'scammer.'

"Bila sampai di lokasi pekerjaan yang ditawarkan indah khabar dari rupa. Kami terpaksa tandatangan kontrak pekerjaan selama enam bulan kerana jika tidak, kami perlu membayar wang sebanyak RM15,000 seorang untuk pulang.

"Gaji dapat bulan pertama dan kedua hanya separuh iaitu AS$500 (RM2,361), selebihnya memang kami tidak dapat gaji, malah dipaksa kerja lebih masa bagi mencapai sasaran iaitu RM7,500 seminggu.

"Sepanjang tempoh di sana, kami memang tidak membantah kerana bimbang dengan keselamatan diri. Ada di antara mangsa menceritakan pengalaman mereka pernah diacu pistol, dipukul dan dimaki,"katanya ketika ditemui di Johor Bahru, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Wan yang bekerja kilang sebelum ini berkata, kesemua mangsa termasuk dari Indonesia, China dan India ditempatkan di hotel di Kampung Sok, Phnom Penh, Kemboja.

Katanya mereka ditempatkan di tingat satu hingga enam sebagai tempat tinggal dan bekerja di tingkat tujuh dan lapan dibangunan sama.

"Kami semua tidak dibenarkan menggunakan telefon ketika waktu kerja iaitu pada 12 tengahari hingga 11 malam. Jadi selepas waktu bekerja saya dan rakan-rakan lain berbincang dan mencari jalam untuk melarikan diri.

"Sebenarnya sudah sebulan kami rancang hendak melarikan diri. Saya berhubung dengan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan membuat pelan melarikan diri.

"Kami juga membuat video bagi memohon bantuan kerajaan negeri kerana semua pasport dipegang oleh ketua sindiket warga Taiwan sebaik tiba di sana," katanya berasal dari Kluang.

Sementara itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Hawa berkata, dia menerima tawaran pekerjaan di Kemboja bersama tunangnya kerana mahu mengumpul duit untuk persiapan perkahwinan.

Katanya pada mulanya ditawarkan menjadi pekerja pembersihan kasino, tetapi kemudiannya dipaksa untuk menjadi 'scammer' dengan menipu orang tempatan untuk membuat pelaburan wang digital.

"Sepanjang berada di sana, mereka 'terperangkap' di sebuah bangunan yang merupakan pusat penginapan dan juga pusat operasi sindiket tersebut.

"Dalam tempoh itu, pergerakan kami semua dikawal, sehinggakan jika kami mahu keluar untuk mendapatkan barangan keperluan atau untuk memotong rambut, akan ada orang yang menjaga dan memerhati.

"Sepanjang tempoh tiga bulan di sana, saya hanya menerima sekali bayaran iaitu sebanyak AS$400 (RM1,889) sahaja. Mangsa-mangsa lain juga menerima bayaran lebih kurang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 12:20 PM
PENGERUSI Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Md Shah (tiga kiri) menyambut ketibaan empat daripada tujuh mangsa sindiket penyeludupan pekerjaan di Kemboja yang selamat tiba di Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad
PENGERUSI Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Md Shah (tiga kiri) menyambut ketibaan empat daripada tujuh mangsa sindiket penyeludupan pekerjaan di Kemboja yang selamat tiba di Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad